27 February 2018

Mencukupkan terhadap segala rezeki yang telah diberi

Mencukupkan terhadap segala rezeki yang telah diberi

Allah SWT berfirman:
وَأَنَّهُۥ هُوَ أَغْنٰى وَأَقْنٰى
“(Dan bahwasanya Dia yang memberi kekayaan) kepada manusia berupa harta benda (dan yang memberikan kecukupan) Dia memberikan harta untuk mencukupi keperluan orang itu.”
(QS. An-Najm 53: Ayat 48)

Sesungguhnya Allah adalah tuhan yang maha pemberi segala keperluan manusia di atas muka bumi ini. Allah sebagai mudabbir (pentadbir) alam segala perjalanan segala makhluk yang berada di dalam dunia ini. Segala kekayaan yang dimiliki oleh manusia adalah pemberian Allah. Juga segala kekurangan manusia adalah kehendak Allah. Setiap sesuatu berlaku adalah dengan qadarnya. Yang mana Allah maha mengetahui akan setiap keperluan manusia, setiap kemampuan manusia dan setiap apa yang terbaik bagi manusia.

Pada hakikatnya tiada istilah miskin yang boleh diletakkan kepada manusia. Kerana dalam ayat yang kami petik di atas adalah dalil menunjukkan bahawa sifat berlawanan bagi kekayaan adalah kecukupan dan bukannya kemiskinan. Allah menyediakan keperluan rezeki yang cukup untuk kehidupan manusia. Selagi mana peruntukan rezeki masih ada pada seseorang manusia itu, maka manusia itu masih belum layak ditarik nyawanya. Dalam erti kata lain, tidak ada istilah seseorang itu tidak mendapat rezeki, kerana orang yang terputus rezekinya adalah mereka yang sudah sampai ajalnya.

Hujah ini bukanlah menafikan kewujudan golongan miskin dalam kaedah fiqh, tetapi memahami erti sebenar syukur dalam konteks tasawuf. Tidaklah kemiskinan itu menjadi halangan kepada ibadah. Dan tidak pula kekayaan itu menjadi rukun kepada kebahagiaan. Agama ini mengajarkan kita meredhoi segala apa yang telah direzekikan kepada kita, dalam pada masa sama menyuruh dan menggalakkan agar menjadi kaya raya. Menjadi kaya itu tidak mengesankan harta itu kepada hati manusia. Malah kekayaan itu diguna sebagai batu loncatan agar mampu membeli tiket ke syurga.

Setiap apa yang dikurnia kepada kita adalah memenuhi qadarnya. Malah Allah lebih tahu setakat mana kadar sepatutnya kepada kita. Adakah kita pantas (layak) menjadi kaya, atau cukup sekadarnya apa yang telah diberi kepada kita. Bersyukur adalah kunci kepada barakah rezeki yang telah diberi. Manakala usaha pula tidak harus berhenti, kerana sifat syukur itu bukannya maksud berhenti mencari rezeki. Tugas manusia fokuskan pada usaha manakala hasilnya serahlah kepada Allah SWT yang Ar Razzaq yang maha pemberi.

Allah SWT berfirman:
وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَنْ تَمُوتَ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ كِتٰبًا مُّؤَجَّلًا ۗ وَمَنْ يُرِدْ ثَوَابَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِۦ مِنْهَا وَمَنْ يُرِدْ ثَوَابَ الْأَاخِرَةِ نُؤْتِهِۦ مِنْهَا ۚ وَسَنَجْزِى الشّٰكِرِينَ
“Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.”

(QS. Ali ‘Imran 3: Ayat 145)


Terbitan asal: Siri 17, 13 Mac 2018.

19 February 2018

Islam adalah Hasil Usaha dan Kecukupan

Islam Mementingkan Hasil Usaha Bukan Keajaiban dan Keramat.

Semua yang berlaku atas dunia adalah kerana ada satu kuasa yang mempengaruhi iaitu Allah. Allah menjadikan alam ini dengan hukum alam yang dipanggil sebagai sunnatullah. Tidak ada apa yang berlaku di atas muka bumi ini melainkan dengan izin Allah dan tidak pula sesuatu itu secara mudah melangkaui hukum alam yang ditetapkan oleh Allah. Sebagai contoh, apabila sesuatu dilemparkan di atas air, maka ianya akan tenggelam. Dan tidak pula ia akan terapung melainkan ianya mempunyai ketumpatan yang lebih tingg daripada air tersebut. 

Begitu juga manusia, segala apa yang berlaku atas dunia adalah kerana sebab dan musabab, atau usaha dan akibat akan sesuatu. Orang yang menjadi kaya adalah kerana usaha dan betulnya jalan hidup yang dilakukan, bukan kerana keajaiban akan kerana satu-satu amalan tertentu sahaja. Dalam erti kata lain, hanya dengan melakukan suatu amalan seperti zikir harian tertentu contohnya, tidak membolehkan seseorang itu menjadi kaya sekiranya dia tidak berniaga dengan cara betul, menguruskan wang dan perniagaan dengan betul, berusaha bersungguh-sungguh dengan kerja keras dan lain-lain usaha yang berjalan atas landasan sunnatullah membolehkan kita mendapat rezeki yang melimpah ruah. 

Allah SWT berfirman:
بَلٰى مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَلَهُۥٓ أَجْرُهُۥ عِنْدَ رَبِّهِۦ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
“Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

(QS. Al-Baqarah 2: Ayat 112)

Setiap amalan yang kita usahakan hendaklah disertakan dengan usaha. Setiap doa yang kita munajatkan kepada Allah, maka hendaklah disertakan dengan usaha. Maka tidak akan ada kejayaan tanpa ada usaha, dan sukar pula sesuatu urusan yang dibuat dengan betul tanpa ada pertolongan dari Allah, dan untuk kita memintanya hendaklah dengan melalui doa yang dipanjatkan kepada Allah. 

Tidak pula sesuatu itu berlaku kerana keajaiban, sebagai contoh mempercayai menyimpan sesuatu di dalam rumah boleh menambah rezeki kita dan menambahkan kebahagiaan. Ini adalah merupakan suatu yang bersifat khurafat dan ianya adalah bibit-bibit kepada amalan kesyirikan. Walaupun sesuatu yang disimpan itu dikaitkan dengan baginda nabi ataupun ulama-ulama yang bertaraf wali serta dipercayai mempunyai karamah. Rezeki itu merupakan hak Allah. Manakala usahanya itu merupakan hak manusia. Manusia berhak berusaha mencari rezeki dengan pelbagai usaha yang mereka mahukan, manakala Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang Allah kehendaki sama ada banyak atau sedikit, cepat atau lambatnya semuanya adalah urusan Allah. Manusia hanya mampu berusaha dan fokus pada usaha. Serahkan hasilnya pada Allah.

Apa yang kami tekankan disini adalah, fokus manusia melakukan usaha terhadap sesuatu dengan cara betul, maka Allah akan berikan apa yang diusahakan berdasarkan hukum alam atau sunnatullah. Doa dan amalan adalah pemangkin kepada usaha supaya Allah melorongkan kita melakukan sesuatu dengan betul dan bakal membuahkan hasil. Tiada apa yang boleh mempengaruhi rezeki manusia melainkan Allah kehendaki akan berlakunya sesuatu kepada diri kita dan rezeki kita. 


Terbitan asal: Siri 16, 22 Februari 2018.

5 February 2018

Islam adalah Kebendaan dan Kekayaan atau Hasil Usaha dan Kecukupan

Islam adalah material dan kekayaan

Antara kemunduran dalam mentafsirkan istilah zuhud dalam Islam adalah dengan meninggalkan keinginan kepada harta dunia. Sifat zuhud yang dianjurkan oleh baginda Nabi Muhammad (selawat dan salam keatasnya) bukannya hidup dalam serba kekurangan dan kemiskinan. Akan tetapi zuhud yang dimaksudkan adalah tidak terkesan dengan harta milik kita dan bersedia untuk mengeluarkan harta ini ke jalan Allah sekiranya diperlukan. Zuhud ini juga menuntut tidak menjadikan harta ini sebagai suatu yang membawa sifat sombong dang bongkak dalam diri kerana kekayaan. 

Umat Islam mesti menguasai harta dan kekayaan untuk survivaliti umat yang kian ditindas pada hari ini. Malah tidak ada nilai perjuangan yang percuma harganya kerana segalanya menuntut kepada kos dan keperluan sama ada keperluan untuk diri sendiri atau keperluan untuk perjuangan Islam itu sendiri.

Islam tidak melarang umatnya menjadi kaya, malahan Islam mengajarkan kepada kita bagaimana mengurus kekayaan dalam kehidupan. Islam telah mewujudkan sistem zakat yang mana orang yang telah cukup nisab dan haul wajib mengeluarkan zakat. Terdapat juga hukum dalam pembahagian harta faraid bagi mengurus harta orang yang telah mati dan memberi keadilan kepada ahli keluarga si mati terhadap harta peninggalannya. Anjuran untuk bersedekah juga disebut banyak kali di dalam Al-Quran dan hadis menunjukkan betapa Islam sangat menjaga kesaksamaan antara si kaya dan si miskin. Serta bermacam lagi ibadah yang melibatkan mengeluarkan harta seperti korban dan waqaf menunjukkan dalam Islam itu mempunyai harta bukanlah suatu yang salah malahan menjadi satu medium amalan yang mungkin tidak mampu dilakukan oleh orang yang tidak punya harta. 

Allah SWT berfirman:
الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيٰوةِ الدُّنْيَا  ۖ  وَالْبٰقِيٰتُ الصّٰلِحٰتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا
“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.”
(QS. Al-Kahf 18: Ayat 46)

Walaupun harta kita di dunia nampaknya seolah hanya perhiasan di dunia, namun ianya mampu menjadi jambatan akhirat yang membantu kita masuk ke dalam syurga. Sejarah perjuangan gerakan Islam yang dipelopori oleh baginda Nabi dahulu, juga menunjukkan betapa harta sangat penting dalam memberi sumbangan dalam pergerakan dakwah Islam. 

Rasulullah yang asalnya mengambil upah mengembala kambing pada zaman awal usianya, yang kemudiannya mengikut Abu Thalib bapa saudaranya yang merupakan seorang ahli kabilah dagangan di Mekah. Akhirnya Rasulullah sebelum kenabiannya berjumpa dengan saudagar wanita yang kaya raya bernama Khadijah Khuwailid dan menjalankan bisnes bersamanya di Mekah. Mahar perkahwinan Muhammad muda itu berupa 20 ekor unta dan 12 uqiyah emas. Jika diterjemahkan kepada nilai kita pada masa kini sudah menjadi puluhan ribu. Betapa Muhammad muda ini bukan pemuda calang-calang bahkan seorang peniaga yang kaya raya sehingga boleh menghadiahkan bakal isterinya sebegitu mahal hantarannya.

Di sini kita lihat Allah mahu tunjukkan bahawa betapa pentingnya kekayaan kepada seorang pemimpin, pendakwah dan pejuang sebuah gerakan yang memerlukan kepada harta bagi membiayai perjuangan yang diperintahkan oleh Allah kepadanya. 

Islam tidak menghalang daripada kita menjadi kaya. Tetapi Islam mengajarkan bagaimana kekayaan ini perlu diurus dan tidak diletakkan di dalam hati. Malahan kekayaan ini juga mampu untuk menjadi penyelamat kita dari azab kubur dan neraka tidak sebagai penyebab utama dihumban ke dalam neraka. Maka kekayaan ini juga digunakan untuk membina kekuatan Islam untuk mula menyatukan umat Islam, membantu ekonomi sesama muslim, selain memberi kepada golongan yang kurang bernasib baik. Kerana yang maha kaya dan maha pemberi tetap Allah yang maha kaya dan semua kekayaan milik manusia adalah atas asbab izinnya. 

“Letakkan harta kekayaan kita di tangan tapi di hati jangan.”


Terbitan asal: Siri 15, 7 Februari 2018.

30 January 2018

Islam adalah Ilmu dan Kehakiman

Islam adalah kehakiman

Apalah ertinya undang-undang jika tiada sistem kehakiman yang menjalankannya. Kehakiman di dalam Islam bertujuan memberi rahmat dan keadilan kepada manusia. Rahmat untuk membela mereka yang tidak bersalah dan keadilan dan hukuman setimpal untuk mereka yang berbuat salah melanggar undang-undang yang telah ditetapkan.

Kehakiman di dalam Islam mempunyai ciri-ciri yang fleksibel dan dan anjal demi menjaga sesuatu keadilan. Berbanding dengan barat, asas utama penghakiman dalam Islam adalah agama yang mana jika penghakiman acuan barat ianya tidak berasaskan mana-mana agama dan hanya menggunakan logikal akal semata-mata. Undang-undang yang hanya berasaskan akal ini mempunyai kelemahan yang mana ianya selaras dengan kelemahan akal manusia. Manusia tidak berupaya mengingat semua perkara dalam satu-satu masa. Selain daripada terpengaruh dengan pertimbangan hawa nafsu, manusia juga tidak mampu mengawal perkara yang bakal berlaku pada masa akan datang atau mengubah sesuatu yang telah lalu. 

Atas dasar kelemahan ini, perlunya suatu undang-undang yang bersifat ketuhanan dan mampu mencegah suatu perbuatan buruk jenayah sesama manusia di masa hadapan selain memberi keadilan semasa kepada perkara yang telah berlaku. Ianya juga bersifat mencegah akan berlakunya jenayah yang sama dilakukan oleh orang lain. Dalam erti kata lain, penghakiman didalam Islam bersifat mendidik dan membawa ketaqwaan dan keinsafan kepada orang lain yang melihat hukuman dijalankan ke atas pesalah. 

Hubungan Ilmu dan Kehakiman

Zaman sentiasa berubah kerana kemajuan ilmu yang bertambah baik di kalangan manusia. Oleh itu setiap perbuatan manusia akan didasari oleh ilmu semasa yang semakin lama semakin maju. Penghakiman juga perlu penambahbaikan dari segi perkembangan keilmuan dalam bidang kehakiman. Penggunaan sains dan teknologi hendaklah seiiring dengan metod penghakiman yang ada pada ketika ini. Contohnya penggunaan teknologi cap jari untuk memastikan kebenaran seseorang itu melakukan suatu jenayah, atau pengesanan DNA menentukan nasab keturunan yang dibawa ke mahkamah. Kesemua perkara ini memerlukan keilmuan yang sentiasa dikemaskini agar penghakiman boleh dijalankan secara adil dengan dibuktikan secara saintifik. 

Penghakiman yang tidak didasari ilmu akan pincang dan tempang di mana ianya akan merosakkan sistem kehakiman itu sendiri. Malah mencemarkan kredibiliti Islam sebagai agama yang sangat mementingkan keadilan kepada manusia.


Terbitan asal: Siri 14, 31 Januari 2018.

23 January 2018

Adakah sama orang-orang yang mengetahui (berilmu)dengan orang-orang yang tidak mengetahui (tidak berilmu)?

Islam dan Ilmu

Tiada apa yang lebih penting dalam kehidupan seorang muslim selain dari ilmu. Yang mana ilmu merupakan kunci kepada kehidupan manusia yang memandu kepada sesuatu yang bermanfaat. Kedudukan manusia di atas dunia ini juga dinilai berdasarkan ilmu yang dimilikinya. Walaupun secara zahirnya ilmu tidak boleh diukur secara fizikal seperti mengukur panjangnya kayu, tidak mempunyai unit sukatan seperti meter dan kaki, tapi keilmuan manusia itu ternilai dengan dirinya sendiri, dari percakapannya, pemikirannya, penilaiannya dan tindak tanduknya. Malahan Allah menjelaskan bahawa orang berilmu itu sangat jelas bezanya dengan orang tidak  berilmu bukan sahaja pada pandangan Allah malahan pada kacamata manusia juga. 

Allah SWT berfirman:
أَمَّنْ هُوَ قٰنِتٌ ءَانَآءَ الَّيْلِ سَاجِدًا وَقَآئِمًا يَحْذَرُ الْأَاخِرَةَ وَيَرْجُوا رَحْمَةَ رَبِّهِۦ  ۗ  قُلْ هَلْ يَسْتَوِى الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ  ۗ  إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُوا الْأَلْبٰبِ
“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya): _Adakah sama orang-orang yang mengetahui (berilmu)dengan orang-orang yang tidak mengetahui (tidak berilmu)?_ Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna (Ulul Albab).”
(QS. Az-Zumar 39: Ayat 9)

Islam adalah agama yang sangat mementingkan ilmu. Malahan seruan Islam agar seluruh umatnya menjadi orang berilmu ditunjukkan seawal wahyu pertama diturunkan. Lafaz Iqra’ bermaksud “Bacalah” yang disebutkan dalam surah Al A’laq itu sudah cukup membuktikan bahawa perkara terawal yang terpenting dalam kehidupan manusia yang dalam kegelapan dan kesesatan adalah dengan memiliki ilmu.

Allah SWT berfirman:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِى خَلَقَ
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),”
(QS. Al-‘Alaq 96: Ayat 1)

Gemilangnya sesebuah tamadun dan bangsa adalah kerana keilmuannya. Kita sendiri pernah mendengar bahawa tamadun Islam suatu ketika dahulu merupakan suatu tamadun yang unggul dan digeruni oleh empayar-empayar lain di dunia. Sehingga rancangan-rancangan jahat diatur supaya tamadun Islam ini jatuh dan berkubur. Kunci kejayaan tamadun Islam suatu ketika itu adalah menggabungkan keilmuan ilmu-ilmu dunia dan dipakaikan dengan akidah yang benar bahawa Allahlah empunya sekalian alam dan berkuasa dalam mengizinkan sesuatu itu terjadi. Kini semua itu hanya tinggal sejarah. Keruntuhan tamadun itu bukan sekadar kerana dijatuhkan oleh rancangan jahat musuh-musuh Islam, malahan ianya berpunca daripada keruntuhan umat Islam itu sendiri yang terpesona dengan keindahan dunia dan kekayaan yang sementara.

Lihat pada hari ini, kepesatan dalam sains dan teknologi dipelopori oleh golongan bukan Islam. Malahan lahir dari tamadun yang tidak mempunyai paksi akidah yang benar. Menafikan kewujudan tuhan, meninggalkan nilai-nilai moral dan akhlak yang akhirnya lahirnya tamadun yang datang dari keilmuan yang kosong jiwanya walaupun mempunyai penemuan dan teknologi yang sangat tinggi sehingga pernah dianggap suatu yang mungkin mustahil bakal dicapai manusia.

Semuanya kerana ilmu. Betapa umat ini ketinggalan dalam bidang ilmu. Malahan ada yang berpendapat tidak perlu kita menguasai ilmu-ilmu dunia ini kerana matlamat abadi muslim adalah akhirat. Ini adalah suatu pemikiran yang salah. Jika begitu sia-sialah doa kita setiap hari yang mendambakan kebaikan di dunia dan juga kebaikan di akhirat. 

Allah SWT berfirman:
وَمِنْهُمْ مَّنْ يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الْأَاخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
“Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami, berilah Kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah Kami dari azab neraka.”
(QS. Al-Baqarah 2: Ayat 201)

Sesungguhnya ilmu itu adalah penyuluh kepada kehidupan manusia. Kehidupan manusia yang punyai dua bahagian iaitu di dunia dan akhirat. Tidaklah suatu yang dianjurkan oleh baginda Nabi mengerjakan dunia sehingga meninggalkan akhirat. Kerana dunia ini adalah ladang yang kita bercucuk tanam, untuk dituai hasilnya di akhirat. Manakan hasil jika tiada usaha, manakan usaha jika tiada kesungguhan untuk berjaya.

Wallahualam. 


Terbitan asal: Siri 13, 23 Januari 2018.

21 January 2018

Islam adalah Kebudayaan dan Undang-undang

Islam Adalah Undang-undang

Kedatangan Islam bukan sahaja membawa akidah yang benar dan ritual ibadah menyembah Tuhan yang esa, akan tetapi ia juga membawa bersamanya undang-undang yang datang dari langit, suatu perintah agung dari yang maha pencipta semua makhluk. Undang-undang Islam bersifat mengawal manusia dari tindak tanduk yang melampaui batas fitrah manusia, menjaga hubungan antara manusia dan makhluk dan memberi keadilan kepada sesama manusia. 

Menurut Yusuf Al-Qardhawi, undang-undang Islam secara umumnya boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu yang pertama undang-undang yang diturunkan oleh Allah, hukum hakamnya adalah tetap yang tidak dipengaruhi oleh faktor masa dan tempat, serta telah dihuraikan secara terperinci. Undang-undang ini adalah tetap dan terpakai sehingga akhir zaman. 

Manakala keduanya merupakan undang-undang Islam dikeluarkan oleh ulama secara ijtihadi yang mana hukum ini adalah berubah-ubah mengikut masa dan tempat serta biasanya diistinbat melalui dalil-dalil naqli dan aqli dan diperincikan oleh para ulama itu sendiri. Undang-undang jenis ini yang akan berubah dari masa ke semasa dan tidak lain ianya bertujuan mengatur hidup manusia menjaganya agar tidak terkeluar dari landasan yang telah ditetapkan oleh Islam melalui wahyunya Al Quran. 

Falsafah utama undang-undang Islam adalah bertunjangkan akidah menyembah Allah yang satu, menjaga keadilan sesama manusia, dan bersifat Rabbani yang membawa ketaatan kepada Allah sebagai pencipta manusia. Maka dalam undang-undang Allah yang diturunkan terus kepada manusia merupakan undang-undang terbaik yang tak dapat disangkal lagi yang terbaik untuk manusia mengatasi segala undang-undang lain yang ciptaan manusia. 

Matlamat utama undang-undang Islam adalah membawa rahmat kepada bukan sahaja kepada muslim bahkan kepada seluruh umat manusia dan alam ini. 

Allah SWT berfirman:
يٰٓأَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَآءَتْكُمْ مَّوْعِظَةٌ مِّنْ رَّبِّكُمْ وَشِفَآءٌ لِّمَا فِى الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
(QS. Yunus 10: Ayat 57)

Undang-undang ini pula tidak ia bersifat menyusahkan dan membebankan manusia selaras dengan keperluan fitrah manusia yang mana hanya Allah sahaja yang mengetahui keperluan dan kemampuan manusia dalam menerima suatu peraturan dan undang-undang.

Undang-undang Islam juga bersifat syumul yang mana ianya mencakupi undang-undang berkaitan ibadah seperti solat dan puasa, kekeluargaan seperti nikah dan cerai, undang-undang muamalat berkaitan perniagaan dan jual beli, undang-undang berkaitan ekonomi seperti percukaian, jizyah, harta rampasan perang (Ghanimah), zakat dan baitulmal. Selain itu undang-undang Islam juga merangkumi hal jenayah seperti hudud, takzir dan qisas, juga merangkumi undang-undang tatacara hukuman seperti pendakwaan, pembuktian dan penahanan, begitu juga dalam bidang politik, pemilihan pemimpin, keadilan negara dan hak-hak rakyat dan juga berkaitan dengan hubungan antarabangsa seperti hubungan negara Islam dengan negara luar, peraturan peperangan dan etika peperangan.

Setelah apa yang telah kami sebutkan di atas amat jelas kepada kita undang-undang Islam adalah suatu undang-undang yang bersifat ketuhanan, menepati fitrah, tidak membebankan malah menyeluruh mencakupi semua aspek kehidupan manusia daripada perkara berkaitan personal sehingga ke hal ehwal bernegara. Inilah suatu keindahan sebuah agama yang menjadi suatu gaya hidup dan merupakan rahmat kepada sekalian alam dan manusia. 


Terbitan asal: Siri 12, 21 Januari 2018.

18 January 2018

Islam adalah Kebudayaan dan Undang-undang

Islam sebagai satu kebudayaan

Secara umumnya kebudayaan boleh diistilahkan sebagai; gaya hidup, hasil karya cipta dan akal budi, pengolahan dan pengerahan terhadap alam, adat dan istiadat, kesenian yang berkaitan dengan cara hidup sesuatu masyarakat setempat. Perkara-perkara ini dipengaruhi oleh faktor alam dan bersifat lokal kerana geografi, sumber alam, pemikiran dan kepercayaan sesuatu kaum tersebut. 

Antara aspek-aspek kebudayaan termasuklah kehidupan spiritual, kesusasteraan, kesenian, sejarah dan ilmu pengetahuan. Kebudayaan sesuatu masyarakat adalah lahir berdasarkan fitrah manusia itu sendiri, dan ianya mempengaruhi pemikiran masyarakat tersebut. 

Islam hadir di kalangan manusia bukan sahaja hadir sebagai sebuah agama, malah ianya juga bertujuan membetulkan gaya hidup manusia menjadi suatu yang dikatakan ‘way of life.’ Sudah tentunya sedikit sebanyak ia akan mempengaruhi kebudayaan setempat sesuatu kaum. Namun begitu, ianya tidaklah bertujuan menghapuskan budaya sedia ada, namun ianya bertujuan membetulkan kehidupan manusia daripada kebudayaan yang tidak menyembah tuhan yang satu kepada pegangan akidah tauhid yang sebenar selaras dengan kehendak fitrah asal manusia.

Berkembang Islam ke seluruh alam bermula dari tanah Arab hingga ke seluruh pelosok dunia. Dalam pada itu, jelas kelihatan Islam tidak menghapuskan kebudayaan manusia di tempat yang berbeza malah menambah baik budaya sedia ada di samping memandu manusia dengan syariat agar budaya yang ada tidak bertentangan dengan akidah tauhid.

Oleh yang demikian, kita dapat lihat variasi budaya yang ada dalam masyarakat Islam seluruh dunia. Sebagai contoh, dalam budaya berpakaian, kita dapat lihat variasi jenis pakaian yang dipakai oleh orang Islam namun ianya tidak lari dari tuntutan syariat iaitu menutup aurat dan bersopan. Islam hanya menggariskan polisi aurat, tapi jenis pakaian tidak ditetapkan. Orang Melayu contohnya lazim dengan baju Melayu ketika hendak solat, namun lain halnya di barat yang memakai kemeja dan berseluar panjang. Begitu juga di negara Arab, dengan kelaziman memakai jubah dan serban manakala di India dengan pakaian kurta. 

Kesemua jenis pakaian adalah berlainan sama sekali, namun tetap dalam kondisi menutup aurat demi mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh syariat Islam. Sedikit sebanyak Islam hadir membentuk kebudayaan masyarakat setempat tetapi dipacu oleh kehendak fitrah manusia. 

Perayaan Arab jahiliyyah Nairuz dan Mahrojan digantikan baginda nabi Muhammad pada masa dulu dengan Aidilfitri dan Aidiladha juga salah satu bukti Islam memperbaiki kebudayaan yang ada pada satu kaum. Perayaan ini bukan sahaja sekadar perayaan yang disambut sekadar bersuka ria, malah ianya berkaitan dengan akidah mengabdi diri kepada Allah yang menciptakan manusia. Malah perayaan ini bukan sahaja disambut oleh orang Arab, malah Aidilfitri dan Aidiladha ini disambut semua umat Islam di seluruh dunia secara serentak. Maka ini adalah bukti yang Islam mendidik manusia menjadi kaum berbudaya yang mengabdikan kepada Allah serta menikah kesyirikan kepada makhluk disamping juga menghapuskan khurafat yang ada dalam budaya dalam satu-satu masyarakat.

Banyak lagi bukti yang Islam tidak menghapuskan kebudayaan sesuatu tempat dan kaum, seperti kesusasteraan, kesenian dan senibina yang tak dapat kami sebutkan di sini. Dan boleh kita simpulkan disini bahawa, Islam adalah agama yang membentuk kebudayaan dan memacu kehidupan manusia dan ianya dipandu oleh akidah dan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah melalui wahyu Rasullullah (selawat dan salam ke atas baginda).


Terbitan asal: Siri 11, 18 Januari 2018.

16 January 2018

Konsep keadilan di dalam Islam

Konsep Keadilan di dalam Islam

Allah SWT berfirman:

يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُونُوا قَوّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِالْقِسْطِ  ۖ  وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئَانُ قَوْمٍ عَلٰىٓ أَلَّا تَعْدِلُوا  ۚ  اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوٰى  ۖ  وَاتَّقُوا اللَّهَ  ۚ  إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
(QS. Al-Ma’idah 5: Ayat 8)

Dalam mendefinisikan keadilan, antara definisi paling popular yang biasa kita dengar adalah “Keadilan adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya.” Dalam erti kata lain, definisi keadilan yang suatu masa dulu menyamaratakan kepada semua tempat sudah tidak lagi relevan dengan definisi umum ini.

Islam adalah agama yang sangat mementingkan keadilan. Yang mana keadilan di dalam Islam hendaklah diletakkan dengan betul di semua tempat dan semua perkara yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Imam Al Mawardi menyifatkan bahawa, keadilan terkandung didalamnya sikap yang benar, terjamin keimanan, jauh dari sesuatu yang haram, tenang ketika marah, dan berterusan menjaga maruah di dalam urusan agama dan urusan dunia.

Oleh yang demikian, kesyumulan Islam ini merangkumi semua aspek kehidupan untuk memberikan keadilan yang sewajarnya dalam situasi dan masa tertentu. Keadilan di dalam muamalat adalah dengan tidak mengambil hak pihak yang lain secara batil bagi seperti mengurangi timbangan dalam jualan. Begitu juga dalam aspek sosial yang mana sesuatu kaum diberikan hak sewajarnya sama seperti kaum yang lain yang tinggal bersama dalam sesebuah negara. Apatah lagi dalam undang-undang, keadilan menjatuhkan hukuman kepada pesalah tidak mengenal status kedudukan dan juga pangkat seseorang. Inilah keadilan yang dibawakan di dalam Islam.

Dalam sesetengah perkara, Islam dituduh tidak adil jika hanya dilihat sesuatu hukum secara luaran tanpa berfikir selapis lagi atas dasar apa hukum itu diturunkan oleh Allah kepada manusia. Sebagai contoh, Islam dituduh tidak adil dalam pemberian harta pusaka yang mana orang lelaki mendapat bahagian yang lebih berbanding perempuan. Akan tetapi hukum Islam ditetapkan sebegini rupa kerana Allah telah memberikan taklifan dan tanggungjawab yang besar pada kaum lelaki untuk menyara wanita di bawah tanggungannya dan menggunakan harta tersebut bagi menyara wanita-wanita ini.

Agama ini melarang manusia bersikap ‘double standard’ yang mana istilah ini jelas sudah menunjukkan ketidakadilan sesama manusia. Keadilan yang dibawakan oleh Islam bukan sahaja memberi keadilan kepada orang Islam sahaja, malah memberikan keadilan kepada bukan Islam. Orang bukan Islam bebas mengamalkan agama masing-masing didalam negara Islam dan tidak memaksa mereka ini memeluk Islam. Kelonggaran ini menunjukkan Islam bukanlah suatu ajaran bersifat ekstrimis sepertimana yang dicanangkan oleh media barat. Keterbukaan ini jelas sebagaimana dalam peristiwa pembukaan Kota Mekah yang mana orang bukan Islam yang dijamin keamanan oleh orang Islam diberikan hak untuk tinggal didalam Mekah dengan dijamin nyawa dan hartanya terpelihara oleh pemerintah, malah boleh mengamalkan agama mereka sendiri.

Keterbukaan ini memberikan hikmah yang membawa lebih ramai orang untuk memeluk Islam atas rahmat yang diberikan kepada mereka. Inilah keindahan rahmat Islam yang dibawakan oleh baginda Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda) yang memberikan rahmat dan keadilan kepada manusia, bukan sahaja yang menerima Islam, malah yang bukan Islam. Atas akhlak ini maka Islam akan dipandang dan digambarkan sebagai agama yang bersifat sejagat kepada semua umat manusia.


Terbitan asal: Siri 10, 17 Januari 2018.

14 January 2018

Mendefinisikan Rahmat

Mendefinisikan Rahmat

Allah SWT berfirman:
وَمَآ أَرْسَلْنٰكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعٰلَمِينَ
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
(QS. Al-Anbiya 21: Ayat 107)
Islam itu jelas membawa kepada kerahmatan dengan diutuskan Nabi Muhammad (selawat dan salam keatasnya), mengeluarkan manusia daripada kegelapan kejahilan dan membawa mereka kepada cahaya hidayah yang mana membawa mereka kepada kehidupan dunia yang lebih baik dan menuju akhirat sebagai matlamat utama hidup manusia.

Maksud rahmat secara literal adalah rasa kasih sayang dan berpadu dengan kelembutan. Tugas Rasulullah yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan kejahilan kepada cahaya keimanan adalah merupakan rahmat kepada semua manusia. Ianya rahmat kepada orang yang menerima Islam sebagai agama dan akidah mereka dan juga rahmat kepada seluruh alam yang merupakan sebahagian daripada kehidupan makhluk Allah di atas muka bumi. 

Rahmat ini merupakan kasih sayang Allah kepada manusia yang mengutuskan seorang manusia mulia membimbing mereka ke jalan yang benar setelah lama tertinggal di dalam kesesatan akidah setelah diselewengkan oleh tangan-tangan manusia durjana selepas kematian nabi-nabi yang sebelumnya.

Dalam konteks kesyumulan Islam yang dibawakan oleh Hassan Al-Banna, rahmat yang dimaksudkan di sini adalah Rahmat sesama manusia. Yang mana kelembutan sesama manusia itu sangat disarankan oleh Islam, akan tetapi tidak ianya itu sehingga mengatasi keadilan. Manusia sesama manusia hendaklah berihsan sesama sendiri dengan membantu borang yang susah, memberi keampunan dan kemaafan terhadap kesalahan, kelembutan di dalam berdakwah dan berhikmah dalam mencegah kemungkaran.

Dalam sesetengah keadaan kita akan cenderung berlembut dalam sesuatu situasi sehingga akhirnya mengenepikan soal keadilan. Dalam hal-hal yang berkaitan dengan jenayah dan juga perkara-perkara yang melanggar undang-undang, maka hukuman akan tetap dijalankan agar sesuatu yang salah itu tidak terlepas daripada mendapat keadilan yang dikhuatiri akan memberi persepsi tidak baik di kalangan orang lain kerana kita tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pemerintah atau penguatkuasa undang-undang. 

Memberi kemaafan dan kelonggaran akan sesuatu hendaklah sentiasa seimbang dan berpada-pada agar tidak terlalu longgar sehingga mengenepikan undang-undang dan akhirnya tidak memberi keadilan yang saksama kepada orang lain.

Inilah yang dikatakan sebagai rahmat dan keadilan seimbang keduanya agar kita tidak melebihkan sebelah yang lain dengan mengurangi sisi sudut yang lain. Keseimbangan inilah yang dipanggil sebagai wasatiyyah dalam beragama yang mana kesederhanaan menjadi tunggak kepada keadilan sesama manusia.


Terbitan asal: Siri 9, 14 Januari 2018.

12 January 2018

Islam adalah akhlak dan kekuatan

Islam adalah kekuatan

Umat Islam yang hidup pada era moden adalah umat yang lahir di kala Islam sudah menjadi umat yang ketinggalan. Empayar kerajaan Islam sudah runtuh di Turki, masyarakat Islam sudah ketinggalan dalam sudut keilmuan sains dan teknologi, negara-negara Islam sudah menjadi negara kelas ketiga, umat Islam hanya menjadi konsumer, dan lemahnya ekonomi dengan banyaknya negara Islam yang miskin disamping umat Islam yang tidak mampu bersaing dengan non-muslim dari segenap segi terutama dalam ekonomi dan industri.

Membina kekuatan juga adalah satu tuntutan didalam Islam. Kekuatan yang dimaksudkan termasuklah kekuatan dari segi ekonomi, keilmuan, teknologi, ketenteraan dan lain lain lagi.

Akan tetapi, tunjang kepada semua kekuatan ini adalah berpaksikan kepada satu perkara, iaitu akidah yang benar kepada Allah sahaja. Dalam pada itu ada tiga perkara utama dalam membina kekuatan umat Islam yang harus dibina terlebih dahulu. 

Kekuatan material: mana mungkin sesuatu yang diusahakan untuk berjaya tidak memerlukan pengorbanan harta. Menuntut ilmu, urusan dakwah, memelihara orang miskin dan yatim semuanya menuntut kepada penguasaan harta dan wang yang banyak bagi membolehkan perjuangan semua ini berjaya. Kita memerlukan lebih ramai orang Islam yang mempunyai kekuatan dari segi material untuk menaja dan membantu membina kekuatan dalam bidang-bidang ini.

Kekuatan jiwa: kekuatan ini menjadi dasar kepada kekuatan lain kerana hanya dengan jiwa yang kental sahaja boleh mampu membawa seseorang teguh mencapai matlamat dalam memperjuangkan sesuatu. Dan kekuatan jiwa ini hendaklah disokong dengan niat kerana Allah dan bukan disebabkan mendapat laba dunia yang akhirnya merosakkan sesuatu perjuangan. Dengan kekuatan jiwa ini juga, ia dapat mengekalkan akhlak Islam yang membolehkan pembangunan material dapat diseimbangkan dengan pembangunan sosial.

Kekuatan sosial: kekuatan sosial adalah kekuatan yang menghubungkan ukhuwah sesama umat Islam. Jika tiada ukhuwah dikalangan umat Islam, masakan boleh pembangunan material, sosial dan dan lain lain kekuatan dapat dibina. Dengan kekuatan ini barulah masyarakat Islam dilihat sebagai umat yang kuat dan mampu menyaingi umat dan bangsa lain yang telah mendahului umat Islam ketika ini.

Keseimbangan antara kekuatan dan akhlak

Tidak ada ertinya jika kekuatan itu tidak disertai dengan akhlak yang tinggi yang mampu mengawal tindak tanduk manusia agar seimbang kekuatannya dengan pembangunan akhlaknya. Namun akhlak yang tinggi tanpa kekuatan juga menjadi tempang kerana ketinggian akhlak itu diambil kesempatan orang lain untuk membuli dan merendahkan bangsa itu sendiri.


Terbitan asal: Siri 8, 13 Januari 2018.